SELAMAT DATANG

Thursday, January 13, 2011

PENGENALAN KEPADA SISTEM PENTADBIRAN MALAYSIA

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang bertugas selama 5 tahun dan dipilih oleh Majlis Raja-Raja. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa serta ada juga yang dijadikan sebagai kuasa bersama.
Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.
Sistem pentadbiran ini adalah berdasarkan Westminster kerana Malaysia merupakan bekas tanah jajahan Britain. Kuasa pemerintahan lebih banyak dipegang oleh cabang eksekutif berbanding perundangan. Pilihan raya umum pula perlu diadakan setiap lima tahun sekali bagi memilih pemerintah.

Kuasa eksekutif ditetapkan oleh kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Berdasarkan perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat, yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam parlimen. Manakala kabinet merupakan ahli parlimen yang dipilih daripada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Parlimen terbahagi kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Negara mempunyai 70 orang senator (iaitu panggilan yang diberikan kepada ahli Dewan Negara). Pemilihan ahlinya boleh dibahagikan kepada dua:
1. 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli).
2. 44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah warganegara Malaysia, tidak kurang dari 30 tahun, waras fikiran, bukan seorang muflis dan tidak mempunyai rekod jenayah. Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahan Perlembagaan.

Dewan Rakyat pula mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama lima tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan. Kuasa perundangan dibahagi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Kuasa politik di Malaysia amat penting bagi memperjuangkan sesuatu isu dan hak oleh yang demikian kuasa memainkan peranan yang amat penting dalam melakukan perubahan.

Kelayakan menjadi ahli adalah warga negara Malaysia, tidak kurang dari 21 tahun, waras fikiran, bukan seorang muflis dan tidak mempunyai rekod jenayah. Seorang ahli tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa.
Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan.

Kabinet Malaysia atau Jemaah Menteri ialah sebuah badan eksekutif kerajaan Malaysia. Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri dan merupakan sebuah majlis menteri-menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, anggota Kabinet hanya boleh dipilih daripada mana-mana Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara. Kebiasaannya, Yang di-Pertuan Agong melantik semua menteri atas nasihat Perdana Menteri. Namun begitu, seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik terlebih dahulu dari Dewan Rakyat.
Anggota Kabinet sering dilantik daripada majlis terendah bagi Parlimen, Dewan Rakyat. Walaupun Timbalan Menteri dilantik mengikut setiap portfolio, tetapi mereka tidak termasuk dalam Kabinet. Kabinet seringkali bermesyuarat secara mingguan, setiap Rabu. Berikut adalah senarai nama Menteri mengikut portfolio masing-masing:

Portfolio Menteri
Perdana Menteri Malaysia
Mohd Najib Tun Razak

Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Muhyiddin Mohd Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)
Dr. Koh Tsu Koon

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)
Mohamed Nazri bin Abd. Aziz

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi)
Nor Mohamed Yakcop

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam)
Jamil Khir Baharom

Menteri Dalam Negeri
Hishamuddin Tun Hussein

Menteri Kewangan
Najib Tun Razak

Menteri Kewangan II
Ahmad Husni Hanadzlah

Menteri Pertahanan
Dr. Ahmad Zahid Hamidi

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Chor Chee Heung

Menteri Kerja Raya
Shaziman Abu Mansor

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Peter Chin Fah Kui

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Noh Omar

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Mustapa Mohamed

Menteri Luar Negeri
Anifah Aman

Menteri Pelajaran
Muhyiddin Yassin

Menteri Pengajian Tinggi
Mohamed Khaled Nordin

Menteri Pengangkutan
Kong Cho Ha

Menteri Sumber Manusia
S. Subramaniam

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Shahrizat Abdul Jalil

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
Dr Maximus Ongkili

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Douglas Unggah Embas

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Mohd Shafie Apdal

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Ismail Sabri Yaakob

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Bernard Dompok

Menteri Belia dan Sukan
Ahmad Shabery Cheek

Menteri Kesihatan
Liow Tiong Lai

Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan
Rais Yatim

Menteri Pelancongan
Ng Yen Yen

Menteri Wilayah Persekutuan
Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

No comments:

Post a Comment