SELAMAT DATANG

Saturday, April 17, 2010

PEMBANGUNAN DALAM SITUASI 'MENANG-MENANG'

Pembangunan menurut tafsiran dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 bahawa menjalankan apa-apa kerja bangunan, kejuruteraan, perlombongan, perindustrian atau apa-apa kerja lain yang seumpamanya pada, di atas, di sebelah atas atau di bawah tanah, membuat sesuatu perubahan matan tentang penggunaan sesuatu tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian daripadanya, atau memecah sempadan atau mencantumkan tanah dan membangun atau memaju.

Jadi dapat disimpulkan pembangunan merangkumi ruang lingkup kerja yang besar dan dan sudah semestinya melibatkan pelbagai pihak bagi menjayakannya. Proses memecah sempadan, bahagian atau mencantum juga merupakan sebahagian dari proses pembangunan. Jadi proses pembangunan merupakan suatu proses yang melibatkan pelbagai pihak yang sudah semestinya melibatkan pelbagai kepentingan dan dikawal dengan pelbagai peraturan bagi mengelakkan berlaku penyelewangan dan memastikan matlamat akhir pembangunan tercapai tanpa berlaku sebarang masalah diakhirnya.

Terdapat banyak pihak yang sebenarnya terlibat dalam suatu proses pembangunan. Pihak-pihak yang terlibat ini sudah pastinya mempunyai kepentingan, matlamat dan misi yang ingin di capai dalam penglibatan mereka itu. Antara pihak –pihak yang biasanya terlibat dalam sesebuah projek pembangunan ialah Klien, Perancang, Arkitek, Jurutera Awam dan Struktur, Jurutera Mekanikal dan Elektrik, Juruukur Bahan, Juruukur Tanah dan Pengurus Projek. Kepentingan dan peranan tersendiri setiap pihak yang terlibat dalam proses pembangunan ini sudah pastinya akan menimbulkan konflik.

Konflik merupakan satu perkataan yang mudah disebut namun sebenarnya kesan yang ditinggalkan adalah besar. Contohnya, didalam industri pembinaan, jika konflik tidak dibendung dan dimanfaatkan secara positif ia boleh mengakibatkan kesan buruk kepada hasil kerja, mutu kerja, atau hatta ketahap peninggalan (abandonment) kerja tanpa siap. Ia juga boleh mewujudkan perbuatan sabotaj. Kos juga mungkin meningkat kesan dari konflik selain memakan masa yang lebih panjang dari penjadualan yang telah dipersetujui bersama diawalnya. Oleh itu, objektif pelan tindakan pengurusan konflik didalam pasukan pembinaan dan pembangunan ialah mengatasi konflik termasuk menyelesaikannya seberapa segera dan secara efisyen, serta memenafaatkannya secara positif, jika sesuai selain bagi mengelakkan kerugian.

Jadi konsep menang-menang yang kini menjadi antara konsep penyelesaian kepada pelbagai konflik dan pertelingkahan merupakan suatu konsep penyelesaian yang terbaik bagi mendepani konflik yang timbul daripada penglibatan pelbagai pihak dalam agenda pembangunan dan pembinaan serta membolehkan kesemua pihak mendapat keuntungan dan manfaat diakhirnya. Situasi menang-menang yang lebih menjurus kepada perundingan dan bekerjasama ini biasanya akan memberi manfaat dan memuaskan hati kesemua pihak yang terlibat dalam konflik itu secara adil dan saksama.

Menurut Michael Yeoh (2003), menjalin dan mengekalkan hubungan yang baik merupakan kunci kepada perkongsian strategik yang berjaya. Hal ini memerlukan pihak-pihak yang berkenaan bekerjasama dalam usaha ‘menang-menang’, yang melaluinya semua pihak akan mendapat keuntungan atau manfaat. Manfaat yang diperolehinya tidak boleh dibolot oleh satu pihak sahaja sedangkan pihak yang satu lagi kurang mendapat manfaat. Ini bermakna, kerjasama adalah satu formula yang amat berkesan untuk meningkatkan sesuatu tahap yang sedia ada daripada tepu tanpa perubahan. Jika dilihat dari skop kerjasama atau perkongsian dalam perniagaan, kepentingan yang dilihat adalah dari segi meningkatkan keuntungan dan tahap menjaga hubungan niaga yang dijalinkan.

Dengan itu, apabila hubungan niaga semakin kukuh, kerjasama yang dijalankan semestinya dapat meningkatkan keuntungan kedua-dua belah pihak. Oleh yang dimikian, kekuatan atau kejayaan perkongsian atau kerjasama yang di jalankan sama ada perkongsian oleh syarikat besar mahupun kecil adalah tertakluk kepada betapa kuatnya hubungan secara ’menang-menang’ yang dijalankan antaranya. Kegagalan dalam memahami maksud disebalik istilah `menang-menang' ini boleh mengakibatkan keadaan tidak puas hati, menaruh syak wasangka dan saling tidak mempercayai ( Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Forum Bouo untuk Asia, April 2005).

Apabila berlakunya keadaan yang sedemikian, kerjasama tidak dapat dilaksanakan dengan baik, dan seterusnya tiada manfaat yang akan diperolehi daripadanya. Dengan sebab itulah pentingnya kerjasama secara ‘menang-menang’ diwujudkan apabila berlaku konflik. Beginilah sedikit gambaran tentang kepentingan dalam menjalankan kerjasama dalam pembangunan. Melalui kerjasama, sesuatu projek boleh dan berpotensi untuk dikembangkan ke tahap yang lebih baik dan sesuatu kerjasama itu dapat bertahan dengan lebih lama dan penjanaan keuntungan daripadanya dapat diperolehi secara berterusan dan total. Jadi pendekatan kerjasama ‘menang-menang’ perlulah di utamakan dalam proses pembangunan yang melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan tersendiri.

No comments:

Post a Comment