SELAMAT DATANG

Thursday, January 13, 2011

PROGRAM EKSPLORASI PEMIMPIN MINDA KELAS PERTAMA 6-13 DISEMBER 2010

EKSPLORASI PEMIMPIN MINDA KELAS PERTAMA KE INDONESIA
6 – 13 DISEMBER 2010 (JAKARTA, BANDUNG, BOGOR)
Tarikh: 06-13 DISEMBER 2010
Anjuran: Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Tempat: Universiti Putra Malaysia, Jakarta, Bogor, Bandung

Objektif :
a) Memberikan pendedahan kepada pemimpin di IPT untuk mendapat pengalaman dan pembelajaran di luar negara.
b) Memberi peluang kepada pemimpin di IPT menimba ilmu dan mencemerlangkan diri agar mereka menjadi pemimpin yang berwibawa,pencetus ilmu dan pemangkin kesarjanaan yang dihormati dan relevan kepada Negara dan masyarakat global;
c) Melatih pemimpin di IPT sebagai duta kecil Malaysia;
d) Memberi peluang kepada pemimpin pelajar IPTA untuk berinteraksi dan membuat networking serta memberi pengalaman positif kepada mereka;
e) Melahirkan modal insan cemerlang bagi memberi sokongan kepada teras Misi Nasional dalam meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama; dan
f) Menyokong teras ketujuh PSPTN iaitu mengukuhkan sistem penyampaian KPT dan juga Agenda Kritikal No.16: Pembangunan Sahsiah Pelajar secara Holistik.



Penerangan Program:

Bertepatan dengan kemahiran Insaniah yang cuba diterapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menerusi pelan strategik pengajian tinggi negara, bahagian hal ehwal dan pembangunan pelajar telah menganjurkan suatu program yang dinamakan sebagai program Eksplorasi Pemimpin Minda Kelas Pertama ke Indonesia bermula dari 6 sehingga 13 disember 2010 ke Jakarta, Bogor dan Bandung menggantikan tarikh asal iaitu pada 22-29 November 2010 akibat letusan Gunung Merapi. Seramai 18 orang delegasi mewakili 12 Institut Pengajian Tinggi Awam dan 6 institut Pengajian Tinggi swasta telah dipilih berdasarkan kepada syarat ketat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur dengan matlamat untuk melahirkan modal insan cemerlang bagi memberi sokongan kepada teras Misi Nasional dalam meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama selain memberi peluang kepada pemimpin di IPT untuk menimba ilmu dan mencemerlangkan diri agar menjadi pemimpin yang berwibawa, pencetus ilmu dan pemangkin keserjanaan yang dihormati dan relevan kepada Negara dan masyarakat global.

Selaras dengan objektif yang ingin dicapai para delegasi yang dipilih merupakan pimpinan di IPT masing-masing yang mempunyai pelbagai kemahiran dan kebolehan tersendiri telah dihimpunkan di Universiti Putra Malaysia untuk sesi taklimat, suai kenal dan perbincangan aktiviti. Sambutan Awal Muharram juga diadakan secara kecil-kecilan bagi mendapatkan keredhaan Allah telah diadakan di surau Kolej Kelima dimana para delegasi ditempatkan. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Ice Breaking oleh En Pawzi Karim, Majlis Ramah Mesra Bersama Delegasi oleh Prof Fauzi, Sesi Perkongsian Pengalaman oleh En. Rosli Sakimin dan Amanat oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia serta Perbincangan Pelaksanaan Aktiviti.

Perjalanan yang dirancang pada jam 7.50 pagi menaiki penerbangan MH 713 terpaksa di tukar kepada MH 711 pada jam 9.10 pagi kerana penerbangan menerusi MH 713 dibatalakan kerana masalah teknikal. Walaupun demikian kami hanya mengetahui tentang hal tersebut hanya setelah tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur kira-kira jam 5 pagi. Para delegasi hanya tidur sekitar sejam sahaja pada malam tersebut kerana pada jam 2.30 pagi mereka telah dikejutkan untuk bersiap kerana bas akan mengambil pada jam 4 pagi untuk ke KLIA. Sekitar jam 8.30 pagi kami telah ke balai berlepas menaiki bas kerana AeroTrain sedang mengalami kerja-kerja naik taraf. Menaiki pesawat boeing Airbus A330 yang agak besar merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana ianya merupakan kali pertama saya menaiki kapal terbang seumur hidup saya.
Ketika hampir mendarat di Lapangan Terbang Soekarno Hatta yang diberi nama sempurna Presiden dan Timbalan Presiden pertama bagi repulik itu, saya dapat melihat menerusi jendela kapal terbang mengenai kegiatan perternakan ikan menerusi kaedah kolam secara besar-besaran serta terdapat aktiviti penternakan ikan secara mega menggunakan tukun. Selamat mendarat di lapangan terbang yang jauh berbeza dengan KLIA dari pelbahgai aspek seperti keluasan dan reka bentuk serta kedudukannya yang dikelilingi oleh perumahan, kami disambut oleh wakil dari Wisma Malaysia, En Azman Bin Mahmud serta pemandu pelancong kami iaitu Bapak Surjadjaja Tanudiredja atau lebih dikenali dengan nama panggilannya, Pak Surya. Beliau merupakan warganegara Indonesia dan menetaap di Jakarta. Sebagai seorang pemandu pelancong bertauliah dari Vijaya Travels, Pak Surya menyambut kehadirana kami dengan begitu baik sekali. Kami dibawa ke Restoren Raja Kuring untuk menikmati makan tengah hari. Restoren yang dikelilingi oleh sungai ini dikatakan merupakan bekas gudang simpanan rempah ratus sebelum dieksport pada zaman penjajahan Belanda di Indonesia. Sebuah rumah api yang berbentuk seperti Menara Pisa itu juga dikatakan antara panduan para pedagang. Restoren itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana telah dibina pada sekitar 350 tahun yang lalu menggunakan kayu oak yang masih lagi kukuh binaannya selain dijaga dan dipulihara dengan baik.

Seterusnya kami dibawa untuk suatu perjalanan yang panjang iaitu kira-kira 115km dari ibu kota Indonesia yang memakan masa sekitar 2 jam menuju ke Institut Pertanian Bogor. Sepanjang perjalanan kami di beri pengenalan mengenai negara indonesia dari aspek sosial, ekonomi, geografi, politik dan sejarah oleh Pak Surya. Antara intipati menarik ialah mengenai Indonesia yang mempunyai sekitar 250 juta penduduk yang mana 88 peratus merupakan beragama Islam. Negara tersebut juga memiliki sekitar 17508 pulau setelah kehilanggan 2 pulau iaitu Pulau Sipadan dan Pulau Tikaran kepada Malaysia. Selain itu juga diceritakan mengenai kehebatan soekarno memimpin negara tersebut sebelum mengundur diri pada tahun 1966 atas desaan daripada gerakan Komunis Indonesia. Setelah itu negara tersebut dipimpin oleh sukarno selama 32 tahun mulai 1967 sehingga 1998 sebelum perlemagaan negara tersebut diubah kepada seorang presiden hanya boleh memegang jawatan tersebut hanya untuk 2 penggal atau sekitar 10 tahun dan sesiapa sahaja bergelar rakyat Indonesia daripada sebelum ini dimana hanya mereka yang berbangsa Jawa sahaja. Pimpinan negara tersebut diambil alih oleh Habibi sebelum digantikan oleh Gusdur Abdul Rahman yang menang menentang Megawati Soekarno Putri anak kepada Preseiden pertama Indonesia. Namun Gusdur hanya memimpin selama separuh penggal sebelum melepaskan takhta kepada Megawati. Kini negara Indonesia dipimpin oleh Susilo Bambang Yudiyono sehingga 2014. Kami juga diberi tahu mengenai negara Indonesia yang sering berhadapan dengan bencana kerana terletak didalam lingkaran api pasifik. Antaranya ialah Tsunami di Acheh pada tahun 2004 dengan ombak setinggi 30 meter dan letusan Gunung Merapi. Indonesia memeilik sekitar 160 gunung berapi yang masih aktif.

Di Institusi Pertanian Bogor, kami banyak memperolehi maklumat dari segi penubuhan, bilangan pelajar, program-program yang dianjurkan serta penyelidikan yang dilakukan antaranya dengan penemuan 26 jenis padi, 18 jenis kacang soyadan penemuan vaksin virus H5N1. Mereka juga berjaya menghasilkan Robot yang diberi nama RJ45 yang digunakan untuk mencatatkan pergerakan ikan di dasar laut serta penghasilan diesel daripada buah Jaktopraa. Selain itu, kami juga berkesempatan berdialog bersama Bapak Rimbawan yang merupakan Direktor Hal Ehwal Pelajar di situ. Banyak maklumat yang baru diperolehi selain daripada berkenalan dengan segelintir pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Kebanyakan pelajar Malaysia di IPB mengambil jurusan vetenari yang dikatakan memilik hospital haiwan terbaik di rantau Asia Tenggara dan majoriti penuntut Malaysia di IPB berasal daripada Sabah.
Seterusnya kami bergerak dari Bogor ke Jakarta di mana kami dapat melihat di sepanjang perjalanan, masyarakat Indonesia yang sangat sibuk dan berusaha berniaga di tepi-tepi jalan. Kami juga dapat mendengar penjelasan daripada Pak Surya mengenai penubuhan Pertamina dan Petronas. Pak Surya menjelaskan bagaimana Petronas boleh berkembang maju ke peringkat antarabangsa berbanding dengan Pertamina walaupun pada mulanya Petronas menuntut daripada Pertamina. Setelah 2 jam lebih perjalanan akibat kesesakan lalulintas serta kondisi jalanrayanya yang teruk, kami sampai di Ibis Hotel dan terus makan malam di kafeteria yang sedia ada. Setelah menjamu selera, kami semua berkumpul di Dewan Arjuna bagi mendengar sedikit taklimat daripada Encik Ludinata Bin Misnun. Pada mulanya, kami semua menyangkakan bahawa, Encik Ludinata merupakan pegawai dari Indonesia, tetapi beliau merupakan anak jati Malaysia yang bertugas di ‘Education Malaysia’, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Beliau memberi taklimat tentang keseluruhan aktiviti yang bakal dilalui selain pendedahan mengenai kehidupan masyarakat Indonesia daripada pengalamannya selama 9 bulan berkhidmat disana.
Keesokan harinya, kami semua daftar keluar dari Ibis Hotel dan menuju ke Bandung. Perjalanan yang mengambil masa sekitar 3 jam atau sejauh 200 kilometer itu membuatkan kebanyakan delegasi tidur dengan lena dalam bas. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan suatu panorama yang indah. Daripada pemerhatian sebahagian besar tanah diusahakan dengan penanaman padi bukit selain di batas-batas mereka menanam pisang. Kami juga dapat menyaksikan landasan kereta api tergantung yang dibina sejauh 1200 km namun kini hanya sekitar 480km sahaja yang boleh digunakan kerana sebahagian besar landasan telah dijual besinya oleh para penduduk demi menyara hidup. Sampai di Bandung, kami terus menuju ke Jati Nangor dan berjumpa dengan wakil pelajar Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI) dan Kelab UMNO Bandung Indonesia (KUBI). Kami bersuai berkenal antara satu sama lain sambil menjamu selera masakan sunda yang sangat sedap. Dikesempatan yang ada juga kami melakukan perbincagan mengenai pengisian pada aktiviti Mahasiswa Prihatin.

Setelah itu, kami dibawa sekitar kampus Universiti Padjajaran oleh saudara Farhan dari KUBI. Kami hanya melawat dari dalam bas sahaja beberapa fakulti yang terdapat dalam kampus tersebut. Kami juga dapat melihat para mahasiswa universiti yang agak janggal dengan lawatan kami namun dibalas dengan senyuman yang ikhlas. Kami berhenti di kolej kediaman pelajar Malaysia di situ. Kolej tersebut sangat besar, luas dan selesa. Kolej itu juga dilengkapi dengan pegawai pengawalnya dan mempunyai pejabat yang beroperasi di tingkat bawah bertujuan untuk menjaga kebajikan pelajar kita di situ. Setiap pelajar tahun 1 harus menetap disana.

Daripada kampus, kami menuju ke Kampung Jati Nangor sebelum dibawa ke Wisma aktiviti mahasiswa Malaysia di Bandung yang disewa oleh pihak kedutaan bagi membantu kegiatan mereka. Seterusnya kami dibawa kesurau dan penduduk telah pun berkumpul di surau tersebut. Tuan Haji Ibrahim Ali selaku ketua delegasi memberi kata-kata aluan sebelum dibalas oleh tuan imam mewakili masyarakat disana. Seterusnya delegasi dibahagikan kepada dua kumpulan, satu kumpulan melakukan pemeriksaan kesihatan dan kumpulan satu lagi mengagihkan sembako kepada masyarakat kampung. Sembako merupakan kata singkatan sembilan bahan pokok atau asas yang terdiri daripada, beras, minyak, gula, tepung, sayur, kacang, daging, telur dan garam. Kami berkesempatan beramah mesra bersama masyarakat kampung tersebut dan ternyata mereka terdiri daripada golongan yang sangat memerlukan bantuan. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah bila mana saya diberi peluang ke rumah seorang warga emas di penempatan itu yang berusia lebih seratus tahun. Hati saya sangat pilu melihat kondusi ibu tua itu yang begitu nazak namun begitu cekal meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Dari kampung tersebut, kesemua delegasi menaiki Pengangkutan Kota (Angkot) menuju ke Panti Asuhan (Rumah Anak Yatim) yang terletak tidak jauh dari kampung tersebut. Pengalaman menaiki angkot akan menjadi memori yang tidak akan dapat dilupakan oleh kesemua delegasi. Rumah anak yatim tersebut mempunyai 30 orang penghuni dimana 7 adalah lelaki dan baki 23 adalah perempuan. Kami disambut oleh anak-nak tersebut sebelum diberikan penerangan mengenai kondisi mereka oleh pengurus panti asuhan tersebut iaitu Tuan Haji Tantang. Kami diberi tahu pihak kerajaan hanya menyediakan dana sekitar RM1 sehari untuk makanan dan lain-lain kos terlibat yang sama sekali tidak mencukupi menampung mereka.

Seterusnya, kami berkumpul di Hotel Puri Khatulistiwa bagi sesi diskusi bersama pemimpin pelajar PKPMI dan KUBI. Diskusi yang bermula setelah solat maghrib dan makan malam itu, mengambil masa selama 95 minit. Diskusi itu diketuai oleh Tuan Haji Ibrahim Ali dan banyak persoalan yang diperbincangkan sesama pelajar Malaysia di Indonesia dan delegasi dari Malaysia. Sesi kali ini juga turut dihadiri oleh En Ludinata dan juga saudara Khairul Hafiz yang merupakan Yang Dipertua PKPMI pusat. Perbincangan itu banyak memberi pengetahuan mengenai keadaan pelajar kita di sana dan bagaimana mereka berdikari di tanah perantauan. Sesi perkongsian ini begitu menarik sehinggakan masa yang diperuntukan dirasakan sama sekali tidak mencukupi.
Pada malam tersebut kami mendaftar masuk di Hotel Carrcadin yang merupakan antara hotel 4 bintang dan termewah di Bandung. Hotel ini adalah merupakan salah sebuah hotel dibawah rangkaian Kagum Hotel. Pada pagi berikutnya kami bergerak ke Tangkuban Perahu bagi pengamatan sosio-ekonomi. Sepanjang perjalanan ke Tangkuban Perahu, kami mendengar sedikit sebanyak lagenda-lagenda yang terdapat di Indonesia. Tangkuban perahu dikaitkan dengan cerita rakyat mengenai Dayang Sumbi dan sang Kuriya. Kisah mengenai sang anak yang bercinta dengan ibunya setelah hampir 20 tahun tidak bertemu. Si ibu yang telah mengetahu itu adalah anaknya menetapkan syarat untuk si anak membina sebuah kapal yang besar dan tasik dalam masa 24 jam. Ketika sang kuriya hampir-hampir menyiapkannya tiba-tiba beliau terdengar ayam berkokok. Kecewa dengan keadaan itu, beliau menyepak kapalnya lalu terbalik menjadi sebuah gunung yang bentuknya seperti sebuah kapal terbalik. Sepanjang perjalanan juga kami dapat melihat kegiataan pertanian yang dilakukan oleh penduduk disana untuk menyara kehidupan mereka. Setelah sampai di Tangkuban Perahu, kami disambut oeh kedinginan yang menusuk ke tulang selain dikerumuni oleh penjual-penjual di situ. Kami rambang mata dengan barang-barangan yang dijual di situ. Kebanyakan barang yang dijual adalah hasil kraf tangan masyarakat setempat. Hasil perbincangan dengan penjual-penjual di situ, kami dapat sedikit sebanyak maklumat mengenai gunung berapi Tangkuban Perahu yang masih aktif sejak letusan tahun 1969. Lagenda Tangkuban Perahu dikaitkan dengan dua nama yang umum iaitu Dayang Sumbi dan Sang Kuria. Versi lagendanya sangat berbeza berbanding dengan cerita di laman sesawang, pegawai pengiring, pemandu pelancong dan penjual-penjual di situ. Dalam perjalanan pulang, kami mengamati kehidupan masyarakat kampung di sekitar perjalanan yang unik. Mereka mendirikan rumah mereka di kaki bukit dan bercucuk tanam di teres-teres bukit dan juga menggunakan atap serta dinding mereka untuk dijadikan ruangan iklan bagi mendapatkan wang tambahan.

Dari Tangkuban Perahu, kami semua menjamu selera di restoran masakan padang sebelum kami diturunkan di Bandung bagi sesi pengamatan sosio-ekonomi yang kedua. Di Bandung, saya membahagikan pengamatan saya kepada dua kategori iaitu, di Jalan Riau dan di Jalan Chiamplas. Di Jalan Riau, kedai-kedai yang ada bertaraf tinggi dan menjual barangan yang lebih berjenama. Masyarakat yang hidup sekitar kawasan ini juga lebih kaya dari segi kewangan. Manakala di Jalan Chiamplas, kehidupan masyarakat Bandung yang masih berada dalam kategori ‘low middle class’. Ini dibuktikan dengan susunan kedai-kedai, jenis barangan yang dijual dan penjaja tepi jalan yang banyak.
Malam itu, kami semua berkumpul di Dewan Shanghai, Hotel Carrcadin bagi sesi perbincangan dan refleksi antara delegasi. Kami semua berbincang mengenai masalah-masalah yang dihadapi dan pengurusan yang kurang cekap dalam beberapa aktiviti sebelum ini. Perbincangan dijalankan dengan telus dan semua meluahkan hasrat dan harapan bagi menjayakan program ini seterusnya. Perbincangan ini berjaya memperbetulkan salah faham yang wujud antara para delegasi.

Pada keesokan harinya, kami meneruskan pengamatan sosio-ekonomi di Tanah Abang. Apa yang menarik dan boleh dipelajari ialah penyusunan kedai-kedai dalam pusat membeli belah yang sangat padat namun teratur dan strategik kedudukannya. Setiap aras mempunyai pengkhususan tertentu seperti ditingkat 6 untuk pakaian muslimin dan tingkat 8 untuk barangan kulit. Kepadatan dan kesesakan disana juga tidak ketinggalan dengan peminta-peminta sedekah yang ramai. Ada diantara mereka masih lagi kecil iaitu sekitar 4 ke 10 tahun serta ada yang telah berusia. Keadaan mereka amat menyayat hati dan pastinya mencabar nilai kemanusian yang ada. Dari Tanah Abang, kami di bawa untuk menjamu selera di Restoran Tekko yang sangat unik dan istimewa. Kami semua dialu-alukan dengan sambutan yang meriah selain hidangan menu ayam penyet yang begitu istimewa dan lazat.

Seterusnya kami dibawa ke rumah pengarah kedutaan Malaysia di Indonesia sempena Majlis Ramah Mesra bersama Datuk Paduka Dr. Junaidy Abu Bakar. Dengan semangat pasukan yang sangat tinggi dan komunikasi yang sempurna, majlis tersebut berjalan dengan lancar. Delegasi semua berkesempatan berkenalan dengan Datuk Paduka serta keluarga dengan lebih rapat dan mesra. Kami juga dapat mempersembahkan montaj program ini kepada Datuk Paduka yang memberikan pandangan keseluruhan aktiviti yang telah dilalui. Datuk Paduka juga tidak ketinggalan memberikan amanat kepada para delegasi untuk menjadi mahasiswa berjiwa besar selain menjadi rakyat yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Dari rumah Datuk Paduka, kami semua pergi ke Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia bagi Program Malaysian Festival 2010 (MAFEST). Kami berkesempatan berjumpa dengan rakan-rakan dari Universiti Padjajaran sekali lagi selain mahasiswa Malaysia yang menuntu di Universiti sekitar Jakarta. Selain itu, kami juga berkesempatan membeli makanan-makanan yang dijual oleh pelajar Malaysia sendiri antaranya nasi lemak dan kuih-muih tradisional. Aktiviti yang dirancang juga diserikan dengan persembahan dari para mahasiswa Malaysia yang menuntut di sekitar Jakarta antaranya ialah zapin, sajak 1 Malaysia menerusi percampuran antara mahasiswa berbangsa Melayu, Cina, India dan Iban. Tarian india juga antara yang menarik perhatian kerana persembahan tersebut begitu bertenaga selain turut ditarikan oleh mahasiswa berbangsa Melayu. Persembahan nasyid serta karaoke juga mencuri perhatian. Kehadiran malam itu adalah sekitar 300 orang dan ada diantaranya juga adalah mahasiswa Indonesia serta beberapa buah negara lain. Program yang dirancang oleh PKPMI cawangan Jakarta ini telah menjadi medan buat mahasiswa Malaysia disana untuk bertukar-tukar pendapat selain bertemu setelah lama tidak ke temu disebabkan jadual kuliah yang padat. Apa yang menarik perhatian saya adalah dimana ada diantara mahasiswa Malaysia disana telah mengalami transformasi dari aspek berpakaian dan berkomunikasi. Saya melihat mereka sudah petah bertutur dalam bahasa Indonesia selain ada yang sudah mengikut cara berpakaian masyarakat disana. Jadi program yang dirancang ini dapat dijadikan medan mengukuhkan kembali jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Keesokan harinya, kami semua berkumpul di Dewan Arjuna bagi menyiapkan laporan secara berkumpulan dan individu. Selepas itu, kami semua daftar keluar dari Hotel Ibis dan tuju ke Pusat Membeli Belah Mangga 2 bagi pengamatan sosio-ekonomi yang terakhir sebelum kami sampai di Lapangan Terbang Soekarno Hatta. Mangga dua merupakan destinasi wajib dikunjungi oleh warga Malaysia setiap kali berkunjung ke Jakarta kerana menawarkan banyak pilihan terutamnya dari segi beg, pakaian dan aksesori lelaki dan wanita. Saat perpisahan dengan Pak Suria amat menyentuh jiwa. Ramai yang sayup dan lemah langkahnya meninggalkan pak Suria kerana beliau bukan sahaja pemandu pelancong sebaliknhya belaiau adalah seorang ayah yang banyak mengajar anak-anaknya erti hidup serta seorang guru yang banyak mendidik dan mencurahkan ilmu. Delegasi menaiki boeing 777 MH722. Didalam kapal terbang saya duduk bertemankan seorang jurutera cari gali syarikat Axxon Mobil di German dan beliau merupakan Mustafa warga Mesir. Beliau banyak berbincang mengenai Indonesia dan Malaysia. Beliau banyak bertanya tentang Malaysia kerana ini merupakan kali pertama belaiu akan ke Malaysia. Sekitar jam 10.00 malam delegasi semua selamat kembali ke bumi bertuah Malaysia tanah tumpah darah tercinta. Sampai di Kolej Kelima, setengah daripada delegasi berjaga bagi menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan kepada kami.
Program ini ditamatkan dengan mesyuarat perbentangan delegasi kepada Tuan Haji Ibrahim Ali yang berlangsung pada 13 Disember 2010, 12.30 tengahari. Kesemua delegasi berpeluang membentang secara keseluruhan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program dan memberikan penilaian masing-masing.

No comments:

Post a Comment