SELAMAT DATANG

Monday, February 14, 2011

PRESIDEN PMIUTM BERTEMU DENGAN PENGARAH KONVOKESYEN KE-45

PRESIDEN PMIUTM BERTEMU DENGAN PENGARAH KONVOKESYEN KE-45
by Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia on Sunday, September 26, 2010 at 7:15am
Laporan oleh Mohd Nur Qadhir Bin Awang


Dalam kesibukan menguruskan pesta konvokesyen UTM pada kali ini, pengarahnya saudara Wan Ahmad Hazman bin Wan Daud sempat beramah mesra masa hampir sejam bersama presiden PMIUTM, saudara Mohd Khairul bin Abdullah Halim pada petang Isnin 20 September 2010 bersamaan 11 Syawal 1431 Hijrah.

Tujuan presiden PMIUTM, saudara Mohd Khairul bertemu dengan pengarah konvo, saudara Hazman ialah untuk menyatakan harapan PMIUTM terhadap pesta konvokesyen ke-45 kali ini agar bertepatan dengan panduan-panduan dan peraturan-peraturan aktiviti yang telah sekian lama wujud di UTM namun dipandang sepi oleh sesetengah mahasiswa khususnya pengarah program.


Bersama Suadara Khairul, Mantan Presiden PMIUTM dan juga Naqib saya

Percaya atau tidak, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa UTM mempunyai Panduan Pembacaan Doa Dalam Majlis / Program, Panduan Kegiatan Kesenian / Hiburan / Kebudayaan, dan Dasar Kebudayaan & Kesenian UTM (1993) yang dapat ditatap di laman web rasmi UTM http://www.utm.my/hep2/panduan.

Panduan-panduan ini jelas menceritakan tentang cara yang sepatutnya sesuatu aktiviti itu dijalankan terutamanya yang membabitkan aktiviti hiburan. Malang sekali, berapa banyak program tidak kira makan malam kolej mahupun aktiviti-aktiviti universiti yang mengabaikan panduan ini. Dalam kesempatan yang singkat itu juga, saudara Hazman sempat menceritakan serba sedikit tentang aktiviti sepanjang pesta konvokesyen yang mana ‘Mahasiswa Menerajui Inovasi’ menjadi temanya.
Inovasi seringkali dikaitkan dengan perubahan atau perbezaan dan antara perubahan yang cuba dibawa oleh saudara Hazman setelah lebih kurang empat bulan berhempas pulas bersama jawatankuasanya yang lain ialah dari segi pengisian aktiviti sepanjang pesta konvokesyen.

Pesta konvokesyen UTM ke-45 yang berlangsung selama 8 hari bermula dengan majlis perasmian pada malam hari Rabu, 22 September 2010 dan berakhir pada hari Rabu berikutnya, 29 Semptember 2010 menjanjikan sesuatu kelainan apabila programya turut melibatkan institusi kebajikan sekitar negeri Johor dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Johor.

Selain itu, rakaman Suara Siswa, salah sebuah rancangan di TV1 turut akan mengisi jadual pesta konvokesyen kali ini dan dijangka diadakan pada pagi hari Jumaat 24 September 2010. Boleh dikatakan setiap malam akan diadakan program yang menarik yang melibatkan individu-individu yang popular seperti Dato’ Lat, Ally Iskandar, Sabri Yunus dan ramai lagi.

Selain program di malam hari, pesta konvokesyen kali ini juga menjalankan kerjasama bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menyediakan peluang kepada mahasiswa menjadi usahawan dan mencari peluang kerjaya dengan seminar, khidmat nasihat dan program yang disediakan terutamanya bagi mahasiswa tahun akhir. Bukan itu sahaja, malah banyak lagi agensi-agensi lain yang turut akan terlibat sepanjang pesta konvokesyen kali ini dengan membuka ruang pameran di tapak pesta dan menjalankan pelbagai aktiviti lain.

Jadi marilah mahasiswa semua turun untuk memeriahkan lagi pesta konvokesyen yang ke-45 ini selain pada masa yang sama mendapatkan input-input yang berguna. Akhir kata, harapan dari pengarah konvo dan presiden PMIUTM sendiri semoga seluruh warga UTM dapat sama-sama menjayakan pesta konvokesyen kali ke-45 ini. Waallahu’alam.

No comments:

Post a Comment